fb fb fb fb fb

TRX berpotensi sebagai pusat industri halal - Anwar

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Februari- Kerangka Ekonomi MADANI satu pendekatan menyeluruh bagi menangani isu sosioekonomi yang sejak dahulu membelenggu negara.

Perdana Menteri, Datuk seri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaannya mampu menggiat semula landskap ekonomi Malaysia yang kompeten dan berdaya tahan.

"Inisiatif Madani bertujuan memperkukuh kedudukan ekonomi Malaysia pada skala global, menguruskan kerumitan landskap global dan memastikan kebolehupayaan dan daya tahan negara melalui daya saing yang dipertingkatkan," kata Anwar dalam ucaptama pelancaran Tun Razak Exhange (TRX) sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa Malaysia di sini.

Jelasnya, kerajaan turut memberi tumpuan dalam aspek pembangunan inovasi dan keusahawanan bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan inklusif, selain memastikan pengagihan manfaat yang saksama.

Dalam pada itu, Anwar berkata pembangunan TRX tidak hanya berperanan sebagai Hab Kewangan Antarabangsa tetapi turut berpotensi sebagai pusat industri halal dan aktiviti kewangan Islam.

Anwar berkata sasaran itu bagi memastikan ekonomi negara terus kukuh dan berdaya saing, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan utama serantau.

"Kami juga mempunyai polisi yang sangat agresif untuk memastikan Malaysia diiktiraf sebagai pusat utama untuk kegiatan halal Islam dan juga kewangan dalam konotasi yang berbeza. Penyertaan negara Islam merupakan satu kapasiti yang besar. Dalam instrumen kewangan sahaja melebihi 1 trilion dolar serta kaitannya dengan pemain industri lain bagi memastikan kejayaan kami dalam transisi tenaga dan transformasi digital serta sekuriti makanan," kata Anwar.

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM