KUALA LUMPUR, 6 NOVEMBER- Kerajaan mengunjurkan sumbangan ekonomi digital negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan melonjak kepada 25.5 peratus menjelang 2025 berbanding 23.2 peratus ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, transformasi digital adalah strategi utama untuk memastikan Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang berjaya.
"Pada suku ketiga tahun lalu sahaja, ekonomi digital menjana AS$15.7 bilion dalam pelaburannya, mengukuhkan statusnya sebagai salah satu sektor yang paling pesat berkembang.
"Usaha ditumpukan menerusi inisiatif strategik nasional, Malaysia Digital kepada sembilan sektor penting iaitu perdagangan, pertanian, perkhidmatan, bandar pintar, penjagaan kesihatan, kewangan, kandungan pelancongan dan ekonomi digital Islam", katanya.
Tambahnya, ketika membentangkan Belanjawan 2024, ia juga direka untuk memacu pertumbuhan inovasi digital dan teknologi generasi akan datang, sekali gus meletakkan Malaysia teguh di landasan untuk menjadi ekonomi yang dipacu inovasi.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Malaysia Digital Expo 2023, di Kuala Lumpur.
Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.