fb fb fb fb fb

Transformasi digital: 21 pegawai kerajaan jalani latihan AI di India

Ketua Setiausaha Negara (KSN),Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar ditemui media di lobi Parlimen selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Negara hari ini/Foto KSN

KUALA LUMPUR, 3 Februari – Kerajaan terus memberi tumpuan terhadap transformasi perkhidmatan awam ke arah pendigitalan bagi memudahkan rakyat mengakses kepada pelbagai kemudahan sedia ada di sektor kerajaan.

Ketua Setiausaha Negara (KSN),Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata, seramai 21 pegawai kanan kerajaan telah dihantar untuk menjalani latihan Kecerdasan Buatan (AI) di India sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kecekapan sistem perkhidmatan kerajaan.

"Mereka telah pun menyediakan aplikasi yang sesuai untuk kita gunakan di kementerian dan jabatan. Seramai 21 pegawai telah menamatkan latihan. Kita juga akan ada kumpulan seterusnya (yang akan dihantar).

“Ia akan menjadi proses berterusan dalam usaha pendigitalan perkhidmatan awam," katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara di sini hari ini.

Menurut beliau, tempoh latihan ini berlangsung sehingga Mei tahun ini, dan kumpulan seterusnya akan turut dihantar bagi memastikan kesinambungan dalam pembangunan teknologi digital dalam sektor kerajaan.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dalam Titah Diraja menekankan kepentingan menaik taraf sistem perkhidmatan kerajaan menggunakan teknologi digital yang lebih cekap dan telus.

Baginda bertitah bahawa pendigitalan bukan sahaja dapat mempercepatkan urusan rakyat, tetapi juga berperanan penting dalam membanteras amalan rasuah, salah guna kuasa, serta budaya "Red Tape" yang sering menyusahkan rakyat.

Usaha kerajaan dalam memperkukuh AI dan teknologi digital ini selaras dengan visi untuk meningkatkan ketelusan serta kecekapan sistem pentadbiran negara dalam era digital.

GRACE AISYAH KEDAYAN