Tradisi makan colek Ramadan, satukan masyarakat pelbagai kaum di Kelantan

Program Jelajah Makan Colek Santai bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim. / FOTO RTM

KOTA BHARU, 12 Mac – Tradisi makan ‘colek’ yang sinonim dengan bulan Ramadan di Kelantan terus menjadi medium mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Jelajah Makan Colek Santai bersama ADUN Kota Lama menghimpunkan penduduk pelbagai kaum untuk menikmati hidangan tradisi moreh bersama.
  • Tradisi makan colek mengeratkan ukhuwah, persaudaraan dan keharmonian antara Melayu, Cina dan India di Kelantan.
  • Suasana meriah Ramadan membantu merancakkan ekonomi peniaga kecil, memberi peluang menjana pendapatan di kawasan Kota Lama.

Program Jelajah Makan Colek Santai bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim menghimpunkan penduduk dari kawasan Tebing Tinggi, Kubur Kuda dan Kampung Sireh, di sini.

Program yang berlangsung di sebuah gerai makan colek itu turut menyaksikan kehadiran masyarakat pelbagai latar belakang yang bersama-sama menikmati hidangan tradisi moreh dalam suasana santai.

Menurut Dr Hafidzah, Kota Lama sememangnya terkenal dengan kepelbagaian kaum dan tradisi makan colek pada bulan Ramadan menjadi ruang terbaik untuk merapatkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat.

Katanya, program itu berjaya menghimpunkan penduduk daripada pelbagai lapisan usia dan kaum termasuk Melayu, Cina dan India yang hadir bersama rakan-rakan.

“Uniknya di Kelantan ini semua kaum boleh menikmati colek dan suasana Ramadan menjadikannya tempat untuk kita berkumpul. Tradisi ini mengeratkan persaudaraan, ukhuwah dan keharmonian yang penting dalam pembinaan negara Malaysia.”

Tambah beliau, sambutan yang diterima membuktikan masyarakat di negeri itu telah lama hidup dalam suasana harmoni tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

Sementara itu, seorang penduduk, Asmawi Wee Abdullah, yang memeluk Islam sejak 20 tahun lalu berkata tradisi makan colek bukan sahaja menjadi budaya masyarakat Kelantan malah turut menyatukan rakyat berbilang kaum.

Menurutnya, masyarakat Cina Kelantan atau lebih dikenali sebagai “Cina Kelate” sudah lama hidup bercampur dengan masyarakat Melayu dan Siam.

“Tradisi makan colek ini satu aktiviti yang baik untuk mengeratkan silaturrahim dan perpaduan antara kaum,” tambahnya.

Bagi seorang lagi penduduk, Kumar Perumal, tradisi makan colek pada bulan Ramadan menjadi simbol muhibah masyarakat Kelantan yang hidup seperti sebuah keluarga besar.

Katanya, walaupun berlainan kaum, masyarakat di negeri itu saling membantu dan hidup dalam suasana harmoni sejak sekian lama.

“Di Kelantan memang terkenal dengan tradisi makan colek pada bulan Ramadan. Suasananya meriah dan menjadi ruang untuk masyarakat pelbagai kaum berkumpul,”katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kubur Kuda, Azhar Ibrahim, berkata penganjuran program bersama rakyat seperti itu bukan sahaja merapatkan hubungan masyarakat malah turut membantu merancakkan ekonomi peniaga kecil di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kehadiran ramai pengunjung untuk menikmati colek pada waktu malam secara tidak langsung menghidupkan suasana di Kota Lama serta memberi peluang kepada peniaga menjana pendapatan.

“Walaupun keadaan ekonomi mencabar, tempat makan colek masih mendapat sambutan dan membantu peniaga kecil menjana pendapatan.”