fb fb fb fb fb

TPM seru sokongan moral masyarakat untuk anak-anak autistik

Fadillah Yusof bersama anak-anak autistik dan peserta yang menyertai Program KL Autism Awareness Fun Run 2025 di ibu negara pagi tadi/RTM

KUALA LUMPUR, 23 Februari- Masyarakat diseru untuk memberikan sokongan moral kepada anak-anak autistik serta persatuan yang memperjuangkan hak dan kebajikan golongan berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah berkata anak-anak istimewa itu tidak seharusnya dipinggirkan dan perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh masyarakat.

"Melalui program seperti ini, diharapkan lebih ramai akan sedar bahawa autisme merupakan satu keistimewaan. Anak-anak ini mempunyai keunikan mereka sendiri dan kita perlu bersama-sama memberi sokongan, bukan hanya dalam bentuk kewangan tetapi juga moral termasuk dengan menyertai program seperti ini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Program KL Autism Awareness Fun Run 2025 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini yang berjaya menarik lebih 4,000 peserta terdiri daripada orang awam serta keluarga anak-anak autistik.

Program anjuran Pertubuhan Amal dan Dakwah Anak Istimewa (PANDAI) dengan kerjasama DBKL, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai autisme serta memberi pendedahan kepada mereka yang mengalaminya.

Seorang peserta, Ehsan Eusop menyatakan penyertaannya dalam larian itu adalah untuk menyokong anak-anak autistik serta memberi pendedahan awal kepada anaknya yang turut mengalami keadaan tersebut.

"Saya datang ke larian ini untuk menyokong anak-anak autistik dan memberi pendedahan kepada anak saya sendiri. Dengan menyertai program seperti ini, dia boleh lebih selesa dalam suasana sebegini," katanya.

Bagi Azira Hashim, penganjuran program seperti ini amat bermakna kerana ia dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap autisme.

"Dulu, kesedaran tentang autisme sangat terhad. Ramai menganggap autistik sama seperti kategori Orang Kurang Upaya (OKU) secara umum, tetapi dengan inisiatif kerajaan dan organisasi seperti ini, masyarakat semakin memahami bahawa golongan ini juga memerlukan pendedahan yang sewajarnya," katanya.

Sementara itu, Farhan Halil yang hadir bersama keluarganya dari Perak menekankan kepentingan sokongan keluarga terhadap anak-anak autistik.

"Sebagai waris kepada anak autistik, keluarga perlu memberi sokongan. Kami datang sejauh ini bersama ibu untuk memberikan dorongan kerana setiap ahli keluarga perlu memainkan peranan dalam memberi sokongan moral," katanya.

Rata-rata peserta turut berharap program berkenaan diteruskan pada masa akan datang bagi meningkatkan kesedaran serta membina masyarakat yang lebih inklusif terhadap anak-anak autistik.

SITI AISHAH MD ISA