KULIM, 30 Ogos - Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech) di Kedah diiktiraf sebagai model peralihan tenaga bersih yang wajar dicontohi oleh taman teknologi perindustrian di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata inisiatif Kulim Hi-Tech selaras dengan sasaran negara untuk mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) ia sesuai dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
"Dalam landskap tenaga dunia, negara dengan ekonomi yang pesat membangun telah mula menggalakkan peralihan tenaga secara berkesan.
"Malaysia akan disokong oleh kebangkitan semula dalam kitaran teknologi global, pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan, dan potensi kenaikan harga komoditi. Saya begitu teruja melihat perkembangan yang berlaku di Kulim High Tech Park hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Stesen Jana Kuasa Turbin Gas Kitaran Terbuka 90 megawatt yang dikendalikan oleh NUR Power Sdn Bhd.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Pengerusi NUR Power, Datuk Ir Mohd Sidek Ahmad.
Turbin gas itu dijangka menambah 90 megawatt kepada keupayaan penjanaan sedia ada NUR Power sebanyak 220 megawatt, bagi memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat di KHTP.
KHTP kini mencatatkan permintaan tinggi untuk semikonduktor dan tenaga solar, menyebabkan beberapa pelanggan sedia ada meningkatkan pengeluaran mereka.
Fadillah menyatakan bahawa pelaburan besar sebanyaka RM30.1 bilion oleh syarikat Jerman, Infineon Technologies AG, untuk fasa kedua kilang di KHTP boleh direalisasikan sekiranya terdapat bekalan tenaga yang stabil dan boleh dipercayai.