SEREMBAN, 10 Februari-Sambutan Tahun Baharu Cina disambut dalam suasana ceria dan meriah di Negeri Sembilan.
Seperti kelazimannya, sambutan Tahun Baharu Cina dimulakan dengan aktiviti makan besar bersama keluarga dan pada keesokan pagi, aktiviti menziarahi tokong dan upacara sembahyang disertai ahli keluarga
Bagi aktiviti berkenaan, mereka akan mengunjungi tokong-tokong yang terdapat di sekitar Seremban.
Antara tokong yang menjadi tumpuan penganut Tao ialah Tokong Then Sze Khoon.
Selain berfungsi sebagai rumah ibadat, tokong berkenaan juga menjadi tumpuan para pelancong kerana seni bina dan dekorasi menarik yang terdapat di tokong berkenaan.
Menurut Pengerusi Tokong Then Sze Khoon, Tioh Fook Men, kedudukan tokong berkenaan yang berada di atas bukit membolehkan pengunjung melihat bandar Seremban.
"Menariknya tokong ini adalah bukit yang ada di sini. Pelawat boleh nampak bandar seremban dari sini", jelas Fook Men yang ditemui RTM di sini.
Jelas Fook Men, selain pemandangan bandar Seremban, tokong tersebut mempunyai 216 anak tangga serta dihiasi dengan 4,000 lampu tanglung.
Selain usia tokong yang menjangkau 161 tahun, tokong tersebut turut menyediakan kemudahan yang mesra warga emas dan Orang kurang Upaya (OKU) bagi dilawati.
Salah seorang pengunjung,Lalithambagi berkata kehadirannya di tokong tersebut adalah bagi melihat sendiri patung gergasi berbentuk kaki seribu (lipan) yang menjadi keistimewaan tokong berkenaan.
"Kami datang ke sini kerana mahu melihat lebih dekat patung lipan dan ingin mengetahui lebih lanjut keistimewaan tokong ini", katanya.
Selain nilai sejarah dan keagamaan yang ada, tarikannya juga terletak pada suasana damai dan tenang yang melingkari setiap kawasan tokong tersebut.