fb fb fb fb fb

TNB persiap empangan skim hidroelektrik hadapi impak monsun

Empangan hiroelektrik Tasik Kenyir

KUALA LUMPUR, 3 Disember- Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah mempersiapkan semua empangan skim hidroelektrik di Cameron Highlands, Sungai Perak dan Tasik Kenyir bagi menghadapi impak Monsun Timur Laut (MTL).

Menerusi satu kenyataan, Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) Muhamad Nazri Pazil memaklumkan, ia termasuk berkaitan kemampuan empangan menakung kapasiti air yang dijangka meningkat pada musim tengkujuh.

Beliau berkata, pemeriksaan berkala secara bulanan dan audit integriti setiap enam bulan adalah antara langkah yang diambil melebihi garis panduan ‘Malaysia Dam Safety Management Guidelines’ (MyDAMS) demi keselamatan empangan untuk memastikan keutuhan struktur.

“Selain menjana elektrik, empangan-empangan hidroelektrik TNB turut berfungsi sebagai tebatan banjir dengan kapasiti menakung air di hulu sungai, sekali gus dapat mengelakkan bencana lebih besar daripada berlaku di kawasan hilir setiap kali musim tengkujuh tiba.

"Paras air tasik telah diturunkan secara terancang ke paras minimum melalui pelepasan terkawal mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) sebelum permulaan musim tengkujuh dengan mengambil kira keperluan operasi supaya keupayaan penjanaan elektrik masih boleh dilakukan.

“Langkah-langkah ini bagi memastikan empangan dapat berfungsi dengan baik bukan sahaja sebagai penjana tenaga hidro tetapi juga membantu usaha penebatan banjir.

“Penyelenggaraan empangan secara berhemat dan menyeluruh mendukung prinsip utama melindungi nyawa, harta benda dan persekitaran,” katanya.

Muhamad Nazri berkata TNB juga telah mengadakan beberapa siri taklimat persediaan kepada pemegang taruh dan penduduk setempat, di samping latih amal simulasi kecemasan bersama agensi-agensi kerajaan yang terlibat dengan pengurusan bencana seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Negeri.

TNB Genco adalah anak syarikat milik penuh TNB yang bertanggungjawab terhadap pengurusan aset-aset penjanaan elektrik milik TNB, termasuk skim empangan hidroelektrik.

Ia bertanggungjawab mengenal pasti sebarang potensi risiko dengan melaksanakan pengawasan, pemantauan prestasi, dan pemeriksaan khas empangan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE