SEPANG, 6 Januari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua kementerian dan negeri memberi fokus kepada usaha meningkatkan keupayaan sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Beliau menegaskan kesiapsiagaan dalam menjayakan program pelancongan perlu melibatkan semua negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak tanpa ada yang tersisih atau tertinggal.
"Saya telah meminta semua kementerian memberikan tumpuan (dalam sektor pelancongan) supaya Malaysia dapat meningkatkan keupayaan dalam bidang pelancongan, pelaburan dan ekonomi tanpa ada kawasan atau negeri yang tersisih," katanya ketika berucap merasmikan pelancaran kempen TMM2026 di sini hari ini.
Tambah Anwar, selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, semua program yang dilaksanakan tahun ini akan memastikan setiap negeri menjadi destinasi pelancongan utama.
"Tahun ini sendiri, dalam usaha kita menjayakan ASEAN, kita pastikan semua program yang dijalankan dapat memastikan setiap negeri tanpa kecuali, menjadi destinasi pelancongan utama, baik tahun ini mahupun tahun depan," katanya.
Anwar turut memuji lagu tema TMM2026 yang dianggap cukup inklusif merangkumi semua daerah dan negeri serta menonjolkan kelebihan masing-masing.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
TMM2026 menyasarkan kehadiran 35.6 juta pelancong dengan potensi pendapatan mencecah RM147.1 bilion.