TMM 2026: Kawalan keselamatan pintu masuk negara diperketat

FOTO BERNAMA


PUTRAJAYA, 8 Januari Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperketat kawalan keselamatan di pintu masuk negara sempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) tanpa menjejaskan kelancaran pergerakan pelancong.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perketat kawalan keselamatan di pintu masuk sempena TMM 2026 tanpa mengganggu kelancaran pelancong.
  • AKPS diperkasakan sebagai barisan hadapan untuk menyeimbangkan mobiliti pengunjung dan keselamatan negara.
  • Kerjasama dengan JKDM dalam pemeriksaan, taksiran dan pembayaran bagi meningkatkan kutipan hasil.
  • Pemasangan autogate di lokasi strategik untuk tingkatkan kelancaran imigresen dan tahap keselamatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, agensi di bawah kementerian itu, khususnya Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan negara.

Menurut beliau, keutamaan diberikan kepada keseimbangan antara kelancaran mobiliti pelawat dan aspek keselamatan negara yang tidak boleh dikompromi.

“Mobiliti pengunjung tidak harus kelihatan, yang kedua jangan berkompromi dari segi isu keselamatan.

“Yang ketiga adalah tingkatkan kutipan bersama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebab elemen itu ada dalam elemen AKPS juga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Amanat Menteri Dalam Negeri 2026 di sini.

Tambah beliau, meskipun fungsi utama kutipan hasil berada di bawah bidang kuasa JKDM, komponen pemeriksaan, taksiran dan pembayaran turut melibatkan peranan AKPS.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan akan melengkapkan pemasangan sistem ‘autogate’ di pintu masuk utama negara bagi meningkatkan kelancaran pemeriksaan imigresen serta tahap keselamatan.

Pemasangan tersebut melibatkan beberapa lokasi strategik termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2, Bangunan Sultan Iskandar, Kompleks Sultan Abu Bakar, serta pintu masuk utama di Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Sarawak.

Menurut beliau, penggunaan teknologi itu selari dengan keperluan peningkatan jumlah pelawat menjelang pelaksanaan TMM 2026.