
KUALA LUMPUR, 19 Januari – Titah tegas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim supaya rasuah diperangi secara menyeluruh tanpa melindungi mana-mana pihak akan dijadikan garis panduan utama Kementerian Dalam Negeri (KDN).
- KDN menjadikan titah Agong sebagai panduan utama memerangi rasuah tanpa melindungi mana-mana pihak.
- Pelaksanaan tegas dan berintegriti diperlukan untuk menutup ruang ketirisan dan salah guna kuasa.
- Perolehan dan projek KDN akan dijalankan secara telus untuk elak bocor, tiris, seleweng, boros dan rasuah.
Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail, berkata pendekatan itu penting bagi memperkukuh tatakelola kementerian serta menutup ruang ketirisan dan salah guna kuasa.
Beliau berkata titah Seri Paduka Baginda membawa mesej yang jelas bahawa usaha membanteras rasuah perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan yang tegas dan berintegriti demi memastikan amalan itu tidak terus merosakkan negara.
“Apabila Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri menyampaikan mesej yang sama, ini menjadi kekuatan besar untuk mengingatkan semua pihak tentang bahaya rasuah,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di sini hari ini.
Saifuddin berkata titah berkenaan turut menyentuh secara khusus beberapa agensi di bawah KDN.
Ini sekali gus memperkukuh komitmen kementerian untuk meneliti dan menambah baik pelaksanaan proses perolehan bagi mengelakkan ketirisan serta salah guna kuasa.
“Semua perolehan KDN, khususnya projek pembangunan dan perbelanjaan berskala besar, akan dilaksanakan secara telus dan berintegriti.
“Saya sentiasa mengingatkan pegawai agar menghayati amalan tatakelola yang baik, iaitu jangan bocor, jangan tiris, jangan seleweng, jangan boros dan jangan rasuah,” katanya.