fb fb fb fb fb

Tipu umrah: Mangsa disaran 'heret' penipu syarikat ke TTPM

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.

PUTRAJAYA, 20 Januari - Mangsa penipuan syarikat pengendali umrah digalakkan untuk memfailkan tuntutan menerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.

Menurut beliau, TTPM merupakan platform terbaik untuk pengguna memperjuangkan hak mereka, terutamanya dalam kes penipuan berkaitan pengendalian umrah.

"Ini adalah komitmen kita di KPDN untuk memastikan setiap kes dapat diselesaikan dengan segera. Kami mengalu-alukan mana-mana pihak atau individu yang mendapati mereka telah ditipu untuk tampil memperjuangkan hak mereka.

"TTPM adalah platform yang disediakan untuk menyelesaikan masalah ini kerana ia melibatkan bentuk penipuan yang perlu ditangani.

"Ramai yang mengumpul wang untuk menunaikan ibadah umrah, tetapi akhirnya hasrat baik mereka terhalang akibat isu tertentu melibatkan pengurusan syarikat-syarikat umrah," katanya selepas merasmikan majlis Perutusan Hala Tuju KPDN di Putrajaya hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa isu penipuan umrah perlu ditangani dengan serius.

"Ini melibatkan wang hasil simpanan individu yang berniat menunaikan ibadah tetapi hasrat mereka terhalang akibat kelemahan pengurusan syarikat.

Beliau menyeru semua pihak yang terkesan agar tidak teragak-agak untuk menggunakan platform TTPM demi memastikan pembelaan sewajarnya.

GRACE AISYAH KEDAYAN