PUTRAJAYA, 30 Ogos- Hari Kebangsaan 2024 harus dimanfaatkan untuk meningkatkan perpaduan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakyat harus sedar akan kenyataan merdeka dicapai kerana kekuatan bersatu.
Meskipun wujud perbezaaan pendapat, namun rakyat mesti diberi perlindungan, kasih sayang dan pembelaan secukupnya.
"Saya mahu manfaatkan kemerdekaan ini sebagai tempat kita berpaut antara satu sama lain. Percayalah, negara ini hebat kerana rakyatnya.
"Potensi negara lebih hebat kalau kita berpakat untuk mengangkat darjat negara, lebih hebat di dunia ini. Apa kurangnya negara kita..apa kurangnya sejarah kesedaran keupayaan pelaburan, pendidikan semua diperbaiki..jangan pinggirkan sesiapa.
"Negara ini mempunyai keupayaan, semangat perpaduan penting tidak boleh diremehkan," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di sini.
Dalam pada itu, Anwar berkata Kerajaan MADANI mahu menoktahkan amalan merompak kekayaan negara dan penyalahgunaan kuasa.
Tegas Anwar, kerajaan tidak akan mengizinkan keterlanjuran pimpinan bersikap angkuh, tamak haloba dan rakus secara berterusan.
Perbuatan yang disifatkan satu pengkhianatan terhadap negara itu harus dihapuskan dengan pimpinan tegas.
"Keterlanjuran ini tidak harus diizinkan berterusan...harapan saya diberi amanah kepimpinan ini, saya mahu noktahkan amalan begitu dan memulakan budaya baharu, pimpinan yang lebih bertanggungjawab, tidak mengizinkan merompak kekayaan negara dan penyalahgunaan kuasa.
"Kita belajar dari sejarah.. buta sejarah, buta hati, buta perasaan, buta ciri kemanusiaan akan menyebabkan negara ini menerima dendangan hasut, dengki, khianat, izinkan keterlanjuran rasuah dan penyelewengan dan apabila keadaan rosak, tidak mungkin mudah diperbaiki lagi," katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri menyifatkan, kecuaian Malaysia mengendalikan isu Batu Puteh sebagai pengkhianatan kepada negara.
Walaupun kerajaan menerima keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), namun tegasnya, tiada negara di dunia yang sanggup melepaskan wilayahnya dengan mudah.
"Negara-negara berperang kehilangan ribuan nyawa hanya untuk mempertahankan wilayah kecil. Sebab itu Kerajaan MADANI setuju mengadakan Suruhanjaya Diraja dan memutuskan apa yang sebenarnya berlaku..mengapa negara ini boleh izinkan pengkhianatan begitu rupa," katanya.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh.
Manakala Batuan Tengah yang terletak kurang satu kilometer dari pulau itu adalah milik Malaysia.