KUANTAN, 1 Jun- Seiring dengan arus permodenan dan cabaran dunia masa kini, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dituntut agar membangunkan tahap kesiagaan peralatan dan juga modal insan dalam menjaga pertahanan ruang udara negara.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, TUDM perlu diperkasakan melalui inovasi sesuai dengan tuntutan semasa serta peranan dimainkan oleh anggota keselamatan.
"Dalam era teknologi yang pesat berkembang ini, beta ingin menegaskan, bahawa adalah penting bagi kita untuk terus meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan dalam mempertahankan kedaulatan negara.
"Perkembangan teknologi dan ancaman baru dunia hari ini, menuntut kita untuk sentiasa berinovasi dan memperkukuhkan keupayaan pertahanan", titah baginda demikian Sempena Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun Tudm Ke-66 di Pangkalan Udara Kuantan di sini.
Tambah baginda, tanggungjawab TUDM juga kini bukan sahaja tertumpu kepada pertahanan ruang udara, malah menjadi tulang belakang dalam mengukuhkan benteng negara di zon maritim serta daratan sama ada di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.
Turut hadir, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Dalam istiadat itu, Baginda yang juga Kolonel Yang Di pertua TUDM turut berkenan memeriksa perbarisan terdiri daripada 23 Pegawai dan 418 Anggota Lain-Lain Pangkat serta penglibatan Lapan Panji-panji TUDM.
Istiadat perbarisan, turut disertai terbang lintas hormat aset-aset udara antaranya helikopter EC 725 AP, pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM, F/A-18D Hornet dan BAE Hawk, pesawat angkut A400M dan C-130H di Pangkalan Udara Kuantan yang juga membawa bendera Malaysia, ATM dan TUDM