TERENGGANU, 15 Januari - Permintaan kegunaan industri biodiesel yang semakin meningkat antara faktor yang dikenal pasti mewujudkan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi di negara ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid menjelaskan, berdasarkan siasatan yang dilakukan didapati bekalan minyak masak bersubsidi bungkusan polibeg satu kilogram itu telah diseleweng untuk dibotolkan sebelum dijual dengan harga yang tinggi.
Harga jualan untuk pasaran biodiesel yang mencecah RM4.50 sekilogram berbanding harga jualan bersubsidi bungkusan satu kilogram untuk kegunaan domestik adalah RM2.50 sekilogram.
"Situasi mengaut keuntungan mudah ini menyebabkan pasaran dibeberapa negeri seperti di Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan terjejas."
"Malah terdapat dibeberapa negeri melaporkan terdapat peniaga 'menangguk di air yang keruh' untuk memaksa pembeli membeli bungkusan gula bagi setiap pembelian bungkusan minyak masak bersubsidi." Kata Rosol ketika menyampaikan hadiah program berbasikal Como Challenge yang telah diadakan di Kuala Berang, Hulu Terengganu.
Melihat pada perkembangan ini, amaran keras kepada setiap peniaga, pemborong mahupun mana-mana pihak terlibat telah dibuat.
KPDNHEP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk membatalkan lesen berkaitan untuk diberikan kepada pihak yang lebih berhak.
"Berkenaan dengan minyak Alhamdullilah kita di Terengganu tidak terkesan dengan bekalan minyak masak 1kg yang menjadi isu di sesetengah tempat. Jadi kita mengkaji hal tersebut untuk mengatasi masalah tersebut. " Katanya lagi.