KUALA LUMPUR, 16 Ogos - Tindakan segelintir anggota dan pegawai polis yang terlibat dalam rasuah menjejaskan serta mencemarkan imej pasukan itu, walaupun majoritinya menjalankan tugas dengan penuh amanah dan berintegriti.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, menegaskan bahawa jenayah rasuah perlu ditangani secara tegas tanpa mengira pangkat atau kedudukan pelakunya.
Beliau berkata sepanjang memegang jawatan sebagai Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, beliau tidak pernah berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terbabit dengan perbuatan tersebut.
“Semasa saya menjawat jawatan Ketua Polis Johor, ada pegawai dan anggota diambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Di JSJN pula, pegawai berpangkat Supt, ASP dan Inspektor turut dikenakan tindakan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Makan Suap di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini malam tadi.
Turut hadir Ketua Pengarah DBP Dr Hazami Jahari dan Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Datuk Dr Radzuan Ibrahim.
Ayob Khan menegaskan, tindakan menyembunyikan kes rasuah demi menjaga nama baik organisasi hanya akan menyebabkan gejala tersebut semakin parah dan sukar dibanteras.
“Bagi PDRM, tiada kompromi. Jika saya kesan, pilihan pertama ialah menyerahkan kes kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika melibatkan kes besar, kedua membuka kertas siasatan, dan ketiga memulakan tindakan tatatertib,” jelasnya.
Dalam ucapannya di majlis tersebut, beliau menegaskan komitmen untuk terus bercakap, menegur dan mengingatkan semua pegawai serta anggota PDRM tentang betapa jijik dan hinanya amalan rasuah.
Beliau juga menolak tanggapan segelintir pihak, sama ada dari dalam atau luar, yang membawa naratif bahawa sukar membanteras rasuah dalam PDRM.
“PDRM kekal tegas untuk tidak berkompromi dengan salah laku integriti, khususnya rasuah dan salah guna kuasa. Kami akan terus beriltizam memastikan tahap keselamatan negara dan ketenteraman awam terjamin, dengan kualiti penyampaian perkhidmatan yang optimum,” katanya.
-- BERNAMA