KUALA LUMPUR, 24 Februari- Timor-Leste berkemungkinan besar menyertai ASEAN sebagai anggota tetap pada Sidang Kemuncak ke-47 ASEAN di Kuala Lumpur, Oktober ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagi mempercepat proses itu, satu unit khas ditubuhkan sekretariat ASEAN di Jakarta.
"Terdapat 88 Instrumen Undang-Undang yang perlu dipatuhi Timor-Leste untuk diterima menjadi anggota tetap ASEAN.
"Daripada jumlah itu, 69 merupakan tonggak ekonomi," katanya kepada pemberita pada sesi Santai Teh Tarik Concorde Club di sini hari ini.
Mohamad juga telah meminta sektor ekonomi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melihat semula keperluan instrumen berkenaan, sama ada masih lagi terpakai atau tidak.
Ketika ini, Timor-Leste masih menunggu keputusan konsensus negara-negara ASEAN untuk diterima sebagai anggota penuh badan serantau itu.