SHAH ALAM, 12 Februari – Tiga syarikat baharu yang terlibat dalam pelaksanaan fasa pertama Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) masih belum menerima lesen operasi, sebaliknya hanya diberikan kelulusan bersyarat dengan tempoh dua tahun untuk melengkapkan semua fasiliti yang diperlukan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata lesen operasi hanya akan dikeluarkan selepas syarikat-syarikat terbabit memenuhi semua keperluan yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Selepas mereka menyediakan segala kemudahan, pemeriksaan akan dilakukan oleh Kementerian Pengangkutan melalui JPJ. Jika semua peralatan, mesin serta komponen yang diperlukan telah disediakan, barulah lesen operasi akan dikeluarkan.
"Saya ingin tegaskan sekali lagi, tiada unsur kontrak diberikan dan kerajaan tidak membayar satu sen pun kepada syarikat ini. Semua pelaburan datang daripada mereka sendiri," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Hab Logistik Exio di Elmina, di sini.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap dakwaan bahawa syarikat yang dilantik tidak mempunyai pengalaman dalam perkhidmatan PPKM serta dikaitkan dengan unsur kronisme.
Menurutnya, sebelum ini perkhidmatan PPKM dimonopoli oleh satu syarikat, menyebabkan syarikat lain tidak berpeluang memperoleh pengalaman dalam bidang tersebut.
Justeru, langkah tersebut diambil bagi meningkatkan persaingan serta membuka lebih banyak peluang kepada syarikat lain untuk terlibat dalam pemeriksaan kenderaan.