fb fb fb fb fb

Tiga sekawan dikhuatiri lemas ketika memancing, mandi di Sungai Sempit

Lokasi kejadian tiga remaja dilaporkan hilang ketika memancing dan mandi di Sungai Sempit, Kampung Tanjung Batu Segari, Pantai Remis hari ini/ JBPM Perak

IPOH, 12 Februari- Tiga sekawan remaja lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Sempit, Kampung Tanjung Batu Segari dekat Pantai Remis hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Darma, 14, Sarath, 16, dan seorang lagi rakan mereka berusia 16 tahun dilaporkan lemas ketika sedang memancing dan mandi-manda di sungai tersebut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 3.26 petang.

Beliau berkata sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis telah dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba pada 4.03 petang.

"Ketua operasi ,Pegawai Bomba Kanan II Muhamad Hanafi Mohamed Rasidi mengarahkan anggota membuat pencarian di kawasan sekeliling atau pencarian di permukaan air dan bacaan air sungai ketika ini pada paras 2.37 meter iaitu air pasang.

"Kawasan kejadian berada dalam ladang sawit iaitu dua kilometer dari jalan besar yang hanya sesuai bagi kenderaan pacuan empat roda," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya pasukan penyelamat menghadapi cabaran kerana liputan Government Integrated Radio Network (GIRN) yang lemah di kawasan pencarian itu.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI