KANGAR, 21 Julai - Sebanyak tiga buah rumah dilaporkan rosak susulan kejadian angin kencang dan hujan lebat yang melanda Perlis, kira-kira pukul 6 petang semalam.
Kejadian tersebut mengakibatkan bumbung rumah diterbangkan angin dan beberapa struktur kediaman mengalami kerosakan.
Sehingga 9.30 pagi tadi, kawasan terlibat membabitkan sebuah rumah masing-masing di Kampung Bakau, Kota Kayang dan Kampung Bangsal Lebah.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah turun ke lokasi terjejas bagi mendapatkan maklumat lanjut dan melakukan penilaian ke atas setiap rumah yang rosak.
Beliau turut menasihatkan mangsa yang terjejas agar segera membuat laporan polis dan mengemukakan salinan laporan tersebut bersama gambar kejadian kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Bangsal Lebah, Norhayati Hashim berkata pihaknya telah menziarahi mangsa yang terlibat dalam kejadian ribut di kampung berkenaan.
Menurut beliau, bantuan barangan keperluan harian termasuk toto dan wang tunai telah disalurkan kepada mangsa.
Manakala bantuan susulan bagi kerja-kerja pembaikan rumah sedang diselaraskan oleh MAIPs dan JKM.