fb fb fb fb fb

Tiga pemandu bas ekspres 'live' TikTok dikompaun RM150

Rakaman bukti daripada anggota JPJ yang menyamar sebagai penumpang bas ekspres

ALOR SETAR, 24 April- Tiga pemandu bas ekspres dikompaun sebanyak RM150 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah selepas dikesan membuat siaran langsung menerusi platform TikTok ketika memandu.

Kesemua kesalahan itu dikesan hasil operasi penyamaran anggota JPJ Kedah sepanjang Ops Hari Raya Aidilfirti (HRA) 2024 bermula 1 April hingga 20 April lalu.
 
Timbalan Pengarahnya, Shahrul Azhar Mat Dali berkata, pemandu pertama, 54, melakukan kesalahan tersebut ketika dalam perjalanan dari Alor Setar ke Ipoh pada 1 April lalu.

Sementara itu, dua lagi pemandu masing-masing berusia 54 dan 52 tahun dikesan melakukan kesalahan sama ketika memandu bas dari Alor Setar ke Kuala Lumpur pada 18 April lepas.

Sebaik tiba di destinasi masing-masing, kesemua mereka dikompaun sebanyak RM150 di bawah Kaedah 17 A (1) Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 kerana menggunakan alat komunikasi ketika memandu.

 
2404 PEMANDU BAS LIVE TIKTOK 5
Pemandu bas ekpres yang dikesan ber'live' TikTok ketika memandu

"Saya minta operator atau penguasaha bas supaya sentiasa bagi peringatan, amaran kepada pemandu bas agar tidak melakukan kesalahan sebegini kerana dia membawa banyak nyawa.

"Jika berlaku kes kemalangan, dia boleh menyumbang kepada jumlah kecederaan atau kematian yang tinggi sebab sebuah bas boleh memuatkan sehingga 26 hingga 40 tempat duduk," katanya kepada pemberita sempena Ops HRA 2024 di Kompleks Ibu Pejabat JPJ Negeri Kedah di Jalan Suka Menanti di sini.

Shahrul berkata, JPJ Kedah memeriksa sebanyak 54,821 buah kenderaan sepanjang 20 hari ops tersebut dijalankan.
 
Sebanyak 10,151 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 432 kenderaan disita dengan motosikal mencatatkan kesalahan tertinggi diikuti motokar serta lain-lain kenderaan.
 
Melalui penyamaran bas, sebanyak lapan kes telah dikesan dan diambil tindakan, manakala empat kes pemandu bas dikesan positif dadah. 

SITI AISHAH MD ISA