KUALA LUMPUR, 16 Disember- Tiga mekanisme bantuan disediakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam usaha membantu petani yang terkesan akibat banjir.
Mekanisme tersebut adalah Tabung Bencana Tanaman Padi, Tabung Bencana Pertanian dan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP).
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata skim itu merangkumi pesawah padi, pengusaha tanaman selain padi serta skim perlindungan kepada pesawah individu yang berdaftar di seluruh negara.
Siasatan dan bancian di lapangan akan dilakukan dalam tempoh 14 hari selepas banjir selesai bagi tujuan penilaian bantuan.
Proses tersebut adalah untuk menilai tahap kerosakan terhadap tanaman.
"Proses bancian dan siasatan yang dijalankan oleh jabatan dan agensi bagi sesuatu kawasan yang terjejas adalah dalam tempoh 30 hari.
Bagaimanapun, proses bancian dan siasatan perlu dijalankan dengan teliti bagi memastikan semua penerima bantuan adalah golongan sasar yang memerlukan dan mengelakkan ketirisan serta penyalahgunaan bantuan tersebut," kata Datuk Arthur di Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan yang dikemukan oleh Senator Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Md Ramli di Dewan Negara.
Dalam pada itu, Datuk Arthur Joseph Kurup turut memaklumkan sebanyak RM13.23 juta telah disalurkan kepada 6,747 pesawah yang mengalami kerosakan tanaman menerusi Tabung Bencana Tanaman Padi sepanjang tahun ini hingga Oktober.
Bantuan berkenaan melibatkan kawasan kemusnahan berkeluasan lebih 12,800 hektar.