fb fb fb fb fb

Tiga maut, empat cedera pacuan empat roda terhumban ke dalam parit

FOTO JBPM SARAWAK

MIRI, 6 Mei- Tiga maut manakala empat lagi cedera apabila kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terbabas ke bahu jalan dan terhumban ke dalam parit dalam kajadian yang berlaku berhampiran Rumah Ngindang, Km 116 Jalan Suai-Niah, petang semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menerusi satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 6.55 petang.

Beliau berkata, susulan itu, dua jentera dan tujuh anggota dari Balai Batu Niah digerak ke lokasi selain sebuah ambulans EMRS dari Balai Lopeng.

"Setibanya pasukan bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis yang membawa tujuh penumpang telah terbabas ke bahu jalan.

"Dua orang mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

"Pasukan bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan empat mangsa yang berada di dalam longkang dan seorang lagi di kawasan semak,"menurut kenyataan tersebut.

Mangsa yang maut ialah Evelyn Shely Manyie, 26, Eddy Indau, 26 dan Jenging Tinsok, 39, manakala mangsa lelaki cedera ialah Garry Galviston Mantau, 34, dan Kulam Letan, 26 serta mangsa wanita cedera ialah Scrivia J. Sylvester, 39 serta kanak-kanak perempuan Evva Shakilla Bandai Evelyn Shely, tiga tahun.

Kesemua mangsa diserahkan kepada pihak paramedik yang kemudian mengesahkan tiga daripadanya telah meninggal dunia.

Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE