BENTONG, 30 September – Tiga lelaki maut dalam kemalangan melibatkan tujuh kenderaan di Kilometer 42, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur, awal pagi tadi.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohd Ridzuan Zulkafly, 40, Muhamad Zaimi Shariff, 39, dan Muhammad Azizul Fitrie Md Zairi, 23.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.13 pagi dan melibatkan empat kereta, sebuah lori tiga tan, serta dua buah treler.
“Dalam kejadian awal pagi itu, salah sebuah treler turut terbakar sepenuhnya dan kemalangan membabitkan 13 mangsa.
"Tiga lelaki yang meninggal dunia telah disahkan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah beliau, tiga lelaki dewasa mengalami kecederaan parah, dua wanita dewasa cedera, manakala tiga lelaki dewasa dan dua wanita dewasa terselamat dalam kejadian tersebut.
“Seramai lapan anggota dan dua jentera dari BBP Bentong telah dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan,” katanya.
Menurut Ismail, dua mangsa wanita yang cedera telah dibawa ke Hospital Bentong dengan jentera EMRS, manakala mangsa lain yang cedera diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut.
“Mayat tiga mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” tambahnya.
Kes masih dalam siasatan pihak berkuasa.