
YAN, 9 April – Tiga bot pukat tunda Zon C serta peralatan menangkap ikan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM2.5 juta disita kerana menceroboh perairan zon pesisir pantai.
- Bot ditahan pada kedudukan antara enam hingga lapan batu nautika dari Pulau Bidan.
- Kru warga asing digunakan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
- Disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen operasi dalam 15 batu nautika.
- Sukri menegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar syarat ditetapkan Jabatan Perikanan.
Pengarah Perikanan Negeri Kedah, Sukri Deris dalam kenyataan memaklumkan, ketiga-tiga bot berkenaan ditahan pada kedudukan antara enam hingga lapan batu nautika dari Pulau Bidan, di sini.
“Bot berkenaan didapati menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Ketiga-tiga bot disiasat bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu beroperasi menangkap ikan dibawah 15 batu nautika dari pesisir pantai atau pulau terdekat,” menurut kenyataan itu.
Ketiga-tiga bot yang ditahan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Kelunchur untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Sukri juga menegaskan bahawa tiada kompromi kepada mana-mana individu yang melanggar syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia demi melindungi sumber perikanan.
Sebarang maklumat awam berkaitan kesalahan bawah Akta Perikanan, boleh disalurkannya melalui aduan FISHCOM 24 jam menerusi talian 03-8888 5019.