fb fb fb fb fb

Tiga bot nelayan asing ditahan, ceroboh perairan negara

Tiga bot nelayan asing Indonesia ditahan di kedudukan 156 batu nautika utara Tanjung Po

KUCHING, 20 April- Tiga bot nelayan asing Indonesia ditahan kerana melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa permit di perairan negara pada sekitar pukul 5.20 pagi, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh dalam satu kenyataan berkata, bot-bot tersebut dikesan ketika rondaan operasi di kedudukan 156 batu nautika utara Tanjung Po.

"Setelah merapat dan melakukan pemeriksaan, terdapat lapan kru termasuk tekong berada di atas ketiga tiga bot tersebut dan kesemua mereka dalam lingkungan umur di antara 22 hingga 62 tahun," katanya.

Pemeriksaan lanjut mendapati, ketiga-tiga bot berkenaan tiada nombor pendaftaran dan berasal dari Indonesia. Kesemua kru bot berkenaan tidak memiliki pengenalan diri yang sah.

Nilai keseluruhan rampasan dibawa ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin dianggarkan berjumlah lebih RM1 juta.

"Kes disiasat bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan negara dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana bot nelayan asing yang memasuki dan melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara tanpa kebenaran.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI