KOTA KINABALU, 28 Disember - Sebuah lapangan terbang baharu akan dapat memenuhi keperluan semasa dan masa depan Sabah dengan lebih baik kerana tapak Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sedia ada tiada ruang mencukupi untuk diperbesarkan secara efektif.
Perunding kanan penerbangan yang juga Pengerusi Nextgen Sabah, Institut Piagam Pengangkutan dan Logistik Malaysia (CILTM) Mohd Faizal Malik berkata rancangan untuk membina terminal baharu di KKIA hanya penyelesaian jangka pendek dan tidak dapat menangani kekangan semasa.
“KKIA masih lapangan terbang satu landasan meskipun ia adalah lapangan terbang kedua paling sibuk di Malaysia iaitu selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mempunyai tiga landasan bagi memenuhi permintaan perjalanan udara.
“Membina terminal baharu bagi menangani permintaan yang kian meningkat di KKIA masih tidak dapat memenuhi keperluan lapangan terbang itu pada masa depan. Sekurang-kurangnya Sabah memerlukan lapangan terbang yang mempunyai dua landasan,” katanya kepada wartawan di sini hari ini.
Pada Julai lepas, Pengerusi Qhazanah Sabah Bhd Datuk Dr Yusof Yacob berkata kajian kebolehlaksanaan bagi penempatan semula KKIA telah selesai dan laporan akan diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan.
Qhazanah, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah, sebelum ini menandatangani perjanjian persefahaman dengan Berjaya Land bagi kajian kebolehlaksanaan penempatan semula lapangan terbang ke Kimanis kira-kira 60 kilometer dari Kota Kinabalu.
Sementara itu, Mohd Faizal menegaskan tidak banyak ruang untuk lapangan terbang sedia ada diperbesarkan kerana ia berdekatan dengan pantai dan kawasan sekelilingnya padat dengan penduduk.
“Selain itu, sebarang usaha untuk tebus guna tanah hanya akan memberi kesan buruk kepada keindahan Tanjung Aru dan menjejaskan pembangunan masa depan di kawasan itu serta sekitarnya.
“Kita perlu belajar daripada isu dihadapi Lapangan Terbang Subang sebelum ini, yang akhirnya berlaku penempatan semula dan pembinaan KLIA di Sepang,” katanya.
Faizal berkata cadangan penempatan semula perlu kerana lapangan terbang sedia ada menghampiri kapasiti maksimumnya iaitu 10 juta penumpang setahun dan telah mengendalikan kira-kira sembilan juta penumpang setiap tahun, selain bertujuan menyaingi perkembangan pesat dalam sektor penerbangan moden.
“Oleh itu, melabur dan memodenkan kemudahannya seperti memiliki lapangan terbang yang moden bukan sahaja dapat menarik minat pelabur tetapi juga menambah baik perhubungan udara Sabah.
“Ia juga boleh memanfaatkan kelebihannya dan melengkapi pembangunan di Kalimantan, serta wilayah BIMP-EAGA (Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia Filipina),” katanya.
Mohd Faizal berkata kemudahan sedia ada yang semakin tepu juga menandakan perlunya penempatan semula sama ada ke Kimanis atau Tuaran.
“Kedua-dua lokasi menawarkan kawasan dan sumber yang mencukupi untuk menampung peningkatan jumlah penumpang serta mengekalkan trajektori sektor penerbangan Sabah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan sebarang cadangan penempatan semula perlu melalui penilaian menyeluruh, kajian kebolehlaksanaan dan rundingan komuniti bagi memastikan ia mematuhi peraturan dan kepentingan semua pemegang taruh terlibat. - BERNAMA