fb fb fb fb fb

Tiada permit kerja, 74 GRO di cekup polis

FOTO RTM

JOHOR BAHARU,15 Januari - 74 pelayan ( GRO) warga asing berumur 22 hingga 45 tahun ditahan dalam serbuan dijalankan di sebuah pusat hiburan di Stulang Laut, di sini kira-kira pukul 2.45 pagi Ahad.

Mereka yang ditahan terdiri daripada warganegara Thailand, Vietnam dan Loas kerana disyaki bekerja tanpa permit sah.  

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata seorang lelaki warga tempatan dipercayai pengurus pusat hiburan berkenaan dan seorang wanita bekerja sebagai juruwang turut ditahan.

Kedua-duanya diambil tindakan kerana melanggar syarat operasi pusat hiburan dan disyaki menggajikan pekerja warga asing tanpa permit sah.

Dalam serbuan tersebut juga seorang pelanggan lelaki warga tempatan juga ditahan kerana dikehendaki mengikut Seskyen 429 Kanun Keseksaan.

Menurutnya lagi, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak atau individu yang melanggar syarat operasi hiburan mengikut peraturan undang sedia ada termasuk cadangan membatalkan lesen kepada pihak berkuasa tempatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 11(2) enakmen hiburan dan tempat-tempat hiburan negeri Johor.

Selain disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15 (1) (c) dan Seksyen 55 B Akta Imigresen 1959/63.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD