fb fb fb fb fb

Tiada kes mpox direkodkan di Terengganu

Datuk Dr Kasemani Embong

KUALA TERENGGANU, 26 September- Tiada kes penularan cacar monyet atau mpox direkodkan di Terengganu, jelas Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Datuk Dr Kasemani Embong.

Bagaimanapun beliau memaklumkan semua pegawai kesihatan seluruh negeri itu telah diberikan taklimat dan maklumat serta kesediaan menghadapi penularan penyakit itu.

"Kita di Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) ini walaupun bukan pintu masuk antarabangsa namun kami sentiasa berada dalam kesiapsiagaan untuk menangani sekiranya ada kes.

"Buat masa ini, alhamdulillah kami tidak mengesan apa-apa kes mpox," katanya selepas merasmikan Operasi Cakna Penguatkuasaan Undang-undang Kesihatan Awam Siri 6 Daerah Setiu di sini.

Menerusi Ops Cakna ia merangkumi 'Ops Kedai Kite' bagi penguatkuasaan Akta Makanan 1983 dan peraturan bawah akta itu dan 'Ops Gomo Asap' bagi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Selain itu 'Ops Ugat-Ugat' turut dilakukan bagi Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

Pada operasi berkenaan sebanyak 102 premis telah diperiksa termasuk premis menjual makanan (21), premis bagi pemeriksaan tempat-tempat berisiko pembiakan aedes (12) dan premis kawasan larangan merokok (69).

Seramai 133 anggota penguatkuasa kesihatan dengan kerjasama inter agensi antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Daerah Setiu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terlibat pada operasi itu.

 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI