Tiada kes jual melebihi harga ketika SHMMP Kaamatan, Gawai

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Tiada kes penjualan melebihi harga maksimum dikesan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebanyak 2,463 pemeriksaan dilaksanakan melibatkan pengeluar, pemborong dan peruncit untuk memastikan kestabilan harga serta bekalan barangan.
  • 31 tindakan diambil kerana kegagalan peniaga mempamerkan tanda harga merah jambu.
  • KPDN memuji kepatuhan peniaga dan akan terus memantau bekalan serta harga bagi melindungi pengguna daripada manipulasi tidak munasabah.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam dalam satu kenyataan memaklumkan, skim yang berkuat kuasa selama sembilan hari bermula 27 Mei hingga 4 Jun lalu itu berjaya mencapai objektif utama dalam membantu mengimbangi kos sara hidup rakyat sepanjang musim perayaan.

“Sebanyak 2,463 pemeriksaan telah dilaksanakan melibatkan peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit bagi memastikan kestabilan harga serta bekalan barangan di pasaran.

31 kes diambil tindakan sepanjang tempoh pelaksanaan skim berkenaan melibatkan kegagalan peniaga mempamerkan tanda harga merah jambu. Tiada kesalahan menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan dikesan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemantauan mendapati majoriti peniaga serta pihak industri menunjukkan tahap integriti dan pematuhan tinggi termasuk mematuhi harga maksimum bagi 17 jenis barangan harga terkawal yang diwartakan.

Menurutnya, pelaksanaan SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 berjalan lancar dalam keadaan kondusif hasil penguatkuasaan proaktif KPDN bersama kerjasama dan maklum balas positif daripada orang ramai.

KPDN turut merakamkan penghargaan kepada komuniti peniaga dan pihak industri atas kerjasama erat dalam memastikan pelaksanaan skim berjalan lancar sepanjang musim perayaan.

Tambah beliau, kementerian itu akan terus memantau kedudukan bekalan dan harga barangan keperluan harian secara konsisten bagi memastikan pengguna dilindungi daripada sebarang bentuk manipulasi harga yang tidak munasabah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.