
PUTRAJAYA, 8 Jun – Tiada mana-mana kaum atau parti politik yang wajar dinafikan hak untuk menyertai kerajaan dalam sistem demokrasi yang diamalkan negara.
- Kerajaan harus mencerminkan perwakilan pelbagai kaum, agama dan parti dalam struktur kabinet dan kementerian.
- Prinsip demokrasi dan semangat Perlembagaan menghendaki ruang untuk semua pihak tanpa menafikan hak.
- Pendekatan inklusif penting bagi tadbir urus yang mewakili kehendak rakyat dan mengekalkan kestabilan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setiap kaum dan parti politik berhak diberi ruang untuk bersama dalam kerajaan selaras dengan prinsip demokrasi serta semangat Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga kementerian bersempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.
“Jadi soal siapa yang harus berdamping dengan kita, dalam kerajaan, dalam kementerian, ia harus mewakili pelbagai sosok, pelbagai kaum dan agama.
“Walaupun induknya Melayu Bumiputera, dasar-dasar yang jelas tidak dipertikai. Keduanya, dalam sistem amalan demokrasi ini kita mesti menghormati pilihan rakyat.
“Oleh itu, agak angkuh atau sombong untuk kita membuat keputusan menafikan hak mana-mana kaum atau parti untuk menyertai dan bersama dalam gagasan kerajaan,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan yang dibentuk perlu mencerminkan kepelbagaian kaum dan parti politik yang wujud dalam masyarakat majmuk negara.
Katanya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan tadbir urus negara yang inklusif serta mewakili kehendak rakyat.