fb fb fb fb fb

Tiada hasrat tutup atau sekat platform media sosial - Fahmi

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 1 Disember - Kerajaan tidak berhasrat untuk menutup atau menyekat mana-mana platform media sosial termasuk TikTok buat masa ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Tindakan sedemikian adalah untuk tidak mahu menyekat kebebasan bersuara dalam kalangan rakyat.

Bagaimanapun, Fahmi berkata kerajaan akan mengambil langkah kawalselia yang bersesuaian, termasuk memastikan setiap platform media sosial mendaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam masa terdekat.

"Kita tidak berhasrat waktu ini untuk menutup platform seperti TikTok atau mana mana patform lain. Sebab Perdana Menteri berpegang kepada prinsip kebebasan bersuara tetapi pada masa sama dengan adanya kebebasan itu mesti ada kebertanggungjawaban.

"Saya jangkakan mungkin dalam masa sebulan ini MCMC untuk sediakan kerangka dan proses itu. Kita beri MCMC sedikit masa kerana kita masih kumpulkan beberapa perkara sama ada daripada pengalaman luar atau perbincangan kita dengan penyedia platform media sosial di Malaysia," kata Fahmi kepada media selepas rakaman Program bual bicara Suara Anak Madani, di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Beliau juga berharap masyarakat untuk lebih bertanggungjawab dalam menggunakan platform media sosial dan tidak mengeluarkan kenyataan berunsur ekstremisme.

Sementara itu Fahmi memaklumkan, program bual bicara Suara Anak Madani akan disiarkan bermula 7 Disember ini menerusi pelbagai platform media sosial dan Youtube Suara Anak Madani.

Katanya, program sedemikian mampu merapatkan jurang politik dan semasa dengan suasana serta penceritaan yang lebih santai.

Ia bakal membincangkan dasar serta isu relevan dengan menampilkan tetamu jemputan berlatar belakangkan dunia politik dan pentadbiran kerajaan.

"Isi kandungannya agak berat.  Sudah pasti sesetengah kementerian subjek dan topiknya mungkin lebih padat dan mendalam tetapi ada ruang untuk kita bercerita sedikit dan lihat satu sisi kepada menteri atau tokoh jemputan itu mungkin daripada sudut yang kurang kita temui biasanya.

"Ada soalan-soalan yang agak bagus, panas, dan tajam, itu menunjukkan kita bersedia untuk dikritik dan dipersoal dan menggunakan peluang ini untuk sampaikan pandangan, " kata Fahmi.

Episod pertama program bual bicara itu akan disiarkan 7 Disember ini bersempena setahun pentadbiran Kerajaan Madani dan akan menampilkan Fahmi Fadzil dan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai tetamu jemputan.

Program 20 episod itu akan dihoskan oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

TETITIA YUSOFF