KUALA LUMPUR, 25 Mac- Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak bercadang melaksanakan caj kesesakan jalan raya ke atas kenderaan persendirian di Kuala Lumpur.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke fokus kini terarah kepada meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam.
MOT juga sedang melaksanakan Kajian Pelan Strategik Pengangkutan Awam Lembah Klang, antara lain turut merangkumi kajian Origin-Destination dan diharap dapat dijadikan penanda aras untuk meningkatkan mutu pengangkutan awam termasuk di negeri.
"Negara-negara maju hanya melaksanakan caj kesesakan setelah mempunyai sistem pengangkutan awam yang baik dan mampan, selain disokong oleh first and last mile connectivity yang menghubungkan stesen pengangkutan awam dengan kawasan tumpuan serta pembangunan guna mampan, integrasi dan konsep TOD (Pembangunan Berorientasikan Transit)," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan di Dewan Negara, hari ini.
Buat masa ini, perkhidmatan transit atas permintaan (DRT) di stesen tren Rapid KL telah mengurangkan isu destinasi akhir dari stesen tren dan sebaliknya, atau first mile last mile.