
KUALA LUMPUR, 28 Januari -Tiada isu kelewatan atau bottleneck dalam pelaksanaan projek pembinaan loji rawatan kumbahan serta rangkaian paip pembetungan di perkampungan Kukup Laut dan Ayer Masin, Tanjung Piai.
- Tiada kelewatan atau bottleneck; projek hanya dimulakan selepas kajian teknikal terperinci siap.
- JPP melantik syarikat perunding untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan merangkumi kawasan atas air.
- Keputusan kajian menjadi asas pelaksanaan projek, dijangka bermula penghujung 2026.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, projek berkenaan hanya akan dimulakan selepas kajian teknikal terperinci disiapkan sepenuhnya.
Menurut beliau, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) telah melantik sebuah syarikat perunding kejuruteraan bagi melaksanakan kajian kebolehlaksanaan projek tersebut.
“Kajian kebolehlaksanaan ini mengambil kira keseluruhan kawasan pembangunan atas air di Perkampungan Nelayan Ayer Masin, Perkampungan Nelayan Kukup Laut dan sekitarnya.
Antara objektif kajian ini adalah untuk menyediakan perancangan pembetungan secara terperinci, mengenal pasti skop kerja pembetungan yang perlu dilaksanakan, serta mencadangkan sistem pembetungan yang ideal, bersesuaian dan menyeluruh bagi kawasan kajian,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng di Dewan Rakyat berhubung status projek sistem pembetungan dan sanitari di Perkampungan Atas Air Kukup Laut dan Kampung Ayer Masin.
Tambah Datuk Seri Abdul Rahman, hasil kajian itu akan digunakan sebagai asas keputusan kerajaan berkaitan pelaksanaan projek, yang dijangka bermula pada penghujung 2026.