fb fb fb fb fb

Thaipusam: 200 sukarelawan Wira Kesuma bertugas di Batu Caves

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong

BATU CAVES, 25 Januari- Seramai 200 sukarelawan Wira Kesuma ditugaskan dalam Program Kesuma MADANI sempena sambutan Thaipusam di Batu Caves, hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, Wira Kesuma bertindak membantu pengurusan logistik orang ramai terutamanya warga emas, kanak-kanak dan golongan orang kurang upaya (OKU).

"Hari ini Wira Kesuma datang untuk bantu logistik, bantu pengunjung-pengunjung yang hadir, memberikan bantuan dan kerjasama kepada pihak penganjur. Selain itu, kita juga ada khemah program Kesuma Madani untuk para pengunjung berehat. Ada petugas-petugas PDRM, Rela dan pekerja pembersihan, kami beri satu ruang untuk mereka berehat", katanya semasa berucap bersempena perayaan Thaipusam di Batu Caves.

Jelasnya, kumpulan sukarelawan itu terdiri daripada pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP), kursus teknikal Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Program Kesuma Madani turut membuka peluang kepada belia kaum India untuk mengikuti pelbagai kursus dan latihan teknikal, selain menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma sepanjang tiga hari sambutan perayaan itu berlangsung.

Sementara itu, golongan belia kaum India disaran agar memanfaatkan peluang mengikuti kursus serta latihan teknikal yang ditawarkan menerusi Program Kesuma Madani yang berlangsung sepanjang tiga hari sambutan perayaan Thaipusam.

Sim berkata sebanyak 1,000 slot dibuka kepada golongan itu bagi mendapatkan pendaftaran kursus secara percuma.

"Program Kesuma Madani ada menyediakan pendaftaran percuma kursus-kursus teknikal di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk belia masyarakat kaum India. Jumlah kursus yang disediakan pada hari ini bernilai RM4.5 juta. Ini merupakan kerjasama kementerian dengan tabung Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA)", katanya dalam sidang media bersempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves.

Jelasnya, lebih ramai belia yang akan mendaftar sekali gus mengikuti kursus serta latihan yang ditawarkan itu berdasarkan sambutan yang amat menggalakkan hari ini.

Program khas belia kaum India itu merupakan kerjasama antara Institut Kebangsaan untuk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) serta Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA).

 

ROSLINA BINTI DIN