KUALA LUMPUR, 28 April- Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan 3.10 peratus bagi tahun kewangan 2022, kekal seperti tahun kewangan sebelumnya.
Ia melibatkan jumlah agihan sebanyak RM2.65 bilion dan bakal memberi manfaat kepada lebih 8.7 juta pendeposit TH.
Pengumuman agihan dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'm Mokhtar.
Menurutnya, agihan keuntungan adalah kompetitif mengambil kira beberapa faktor. Antaranya kadar agihan yang lebih tinggi daripada purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan, iaitu 2.34 peratus serta zakat yang dilunaskan bagi pihak pendeposit.
"TH telah mencatat pendapatan kasar sebanyak RM3.85 bilion bagi tahun 2022, berbanding RM3.72 bilion pada tahun 2021.
"Pendapatan pelaburan kekal berdaya tahan meskipun dalam ekonomi mencabar dan pasaran tidak menentu," katanya.
(Datuk Dr Mohd Nai'm Mokhtar)
Beliau menyatakan demikian pada sidang media di Menara Tabung Haji, di sini hari ini.
Tambahnya, pendeposit boleh menyemak amaun yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula 12 tengah hari esok.
Urusniaga TH akan ditangguhkan sementara bermula 8 malam ini, sehingga 12 tengah hari esok bagi melancarkan urusan pengkreditan agihan keuntungan.