
MEKAH, 30 Mei- Lembaga Tabung Haji (TH) menerima pengiktirafan tertinggi Anugerah Labbaitom daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi buat kali kelima berturut-turut.
- Penggunaan teknologi digital dan AI dalam operasi haji untuk meningkatkan mutu perkhidmatan jemaah.
- Inisiatif Green Haji Lestari dan kempen kebersihan untuk pengurusan haji lebih lestari dan mesra alam.
- Kejayaan hasil komitmen kerajaan, TH, petugas haji, jemaah dan pendeposit menyokong perkhidmatan terbaik.
- Tahap kesihatan jemaah baik; TH akan adakan penilaian menyeluruh selepas musim haji untuk penambahbaikan.
Anugerah berprestij itu mengiktiraf kecemerlangan TH dalam mengurus kebajikan, keselamatan serta perjalanan ibadah jemaah haji Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai antara penanda aras pengurusan haji di peringkat antarabangsa.
Anugerah tersebut disampaikan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata pengiktirafan berkenaan membuktikan Malaysia terus menjadi contoh dalam aspek pengurusan dan penyampaian perkhidmatan haji yang menyeluruh.
Katanya, TH pada tahun ini melaksanakan beberapa penambahbaikan termasuk mengintegrasikan teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI) dalam operasi haji bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada jemaah.
“Beberapa aplikasi berasaskan AI diperkenalkan bagi membantu jemaah memperoleh maklumat dan jawapan secara masa nyata selain meningkatkan kecekapan pengurusan di Tanah Suci.
“Bukan itu sahaja, kita turut melaksanakan inisiatif Green Haji Lestari serta kempen kebersihan bagi memastikan pengurusan haji lebih lestari dan mesra alam,” katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Labbaitom di sini, hari ini.
Menurut beliau, kejayaan tersebut adalah hasil komitmen kerajaan, TH, petugas haji, jemaah serta para pendeposit yang sentiasa menyokong usaha menyediakan perkhidmatan terbaik bermula daripada persediaan sebelum musim haji, sepanjang berada di Tanah Suci dan selepas jemaah pulang ke tanah air.
Beliau berkata disiplin serta akhlak jemaah haji Malaysia turut menjadi faktor penting yang menyumbang kepada reputasi baik negara dalam kalangan negara-negara pengirim jemaah haji.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga TH termasuk petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), petugas kebajikan serta pengurusan tertinggi TH yang bertungkus-lumus memastikan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara.
Datuk Dr Zulkifli turut merakamkan penghargaan kepada Penjaga Dua Masjid Suci dan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud, Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman serta Dr Tawfiq atas kerjasama yang diberikan dalam memudahkan pengurusan haji Malaysia.
Katanya, hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi banyak membantu TH meningkatkan mutu perkhidmatan kepada jemaah negara ini.
Sementara itu, beliau berkata TH akan terus melaksanakan penilaian menyeluruh selepas musim haji bagi meneliti maklum balas jemaah sebagai usaha penambahbaikan berterusan.
Beliau berkata tahap kesihatan jemaah haji Malaysia pada musim ini berada dalam keadaan baik hasil persediaan rapi yang dilaksanakan sejak awal.
Bagaimanapun, setakat ini seramai 10 jemaah Malaysia direkodkan meninggal dunia di Tanah Suci berbanding 22 jemaah bagi keseluruhan musim haji tahun lalu.