fb fb fb fb fb

TH pastikan sajian makanan berkualiti dan bersih untuk jemaah haji Malaysia

Aspek kebersihan dan keselamatan dalam penyediaan makanan untuk jemaah haji Malaysia mematuhi semua kriteria dan syarat yang ditetapkan

MEKAH, 18 Mei- Lembaga Tabung Haji (TH) kekal komited memastikan aspek kebersihan dan keselamatan dalam penyediaan makanan untuk jemaah haji Malaysia dengan mematuhi semua kriteria dan syarat yang ditetapkan.

Selain itu, sajian makanan turut diolah mengikut citarasa tempatan bagi memberi keselesaan kepada jemaah sepanjang menunaikan ibadah di Tanah Suci.

TH membawa masuk 17 tukang masak berpengalaman dari Malaysia yang menggunakan bahan mentah berkualiti tinggi serta serbuk rempah pra-campuran bercirikan rasa Malaysia bagi memastikan hidangan yang disediakan menyelerakan.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, “Insya-Allah, kami komited memastikan sajian yang disediakan berkhasiat, berkualiti dan selamat. Kami sentiasa memastikan penggunaan dapur terbaik di Tanah Suci dan mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia berkaitan pemakanan jemaah haji di sini.”

Sebanyak 42 menu disediakan sepanjang musim haji kali ini. Pek makanan disediakan di tujuh dapur katering sebelum diedarkan terus ke maktab penginapan jemaah haji.

Hampir dua juta pek makanan disediakan oleh TH untuk memenuhi keperluan lebih 31,600 jemaah haji sepanjang musim haji tahun ini.

Jemaah haji yang ditemui kelihatan gembira dan berpuas hati menikmati sajian makanan ala Malaysia.

Ramli Kassim, seorang jemaah haji, berkata, “Saya rasa makanan sekarang sedap. Sebelum ini ada yang kata tak sedap, tapi bila datang sini, saya puji Tabung Haji. Makanannya sedap, ayam pun sedap, sotong lembut dan ikan pun sedap, cuma jarang dapat ikan, selalunya dapat ayam.”

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE