PUTRAJAYA, 8 Oktober - Lembaga Tabung Haji (TH) melaksanakan langkah proaktif bagi menjejaki para jemaah yang telah ditawarkan tempat untuk menunaikan ibadah haji bagi musim 1447H/2026M, namun gagal dihubungi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata langkah itu bagi mengurangkan jumlah jemaah yang tidak menjawab tawaran berkenaan.
"Ada jemaah yang tidak mengemaskini alamat tempat tinggal. Mungkin kerana berpindah ke tempat lain. jadi nanti akan ada staf dan pegawai TH yang akan pergi ke rumah-rumah bakal jemaah untuk memaklumkan berkenaan tawaran tahun hadapan bagi memastikan keberadaan mereka. Dengan cara itu, saya rasa Insya-Allah jumlah mereka yang akan menjawab tawaran haji itu kita akan dapat kurangkan," ujarnya.
Tambahnya lagi, prinsip TH kekal untuk memastikan kos bayaran bagi menunaikan haji yang telah ditetapkan tidak membebankan jemaah.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Serantau Manasik Haji Pertama anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), di Putrajaya.
Persidangan selama tiga hari itu turut diadakan serentak dengan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-42 yang menghimpunkan peserta dari negara serantau bagi membincangkan isu hukum-hakam serta bimbingan haji dalam era kecerdasan buatan (AI).