fb fb fb fb fb

TH beri komitmen sertai task force banteras penipuan haji

Bakal jemaah haji yang akan menunaikan haji/Foto Tabung Haji

KUALA LUMPUR, 9 Jun - Lembaga Tabung Haji (TH) akan memberikan komitmen penuh kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk menangani isu jemaah haji terkandas dan membanteras penipuan pakej haji.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman berkata akan menyalurkan segala maklumat yang diperlukan kepada Pasukan Petugas Khas (Task Force) yang diterajui oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk proses siasatan.

"Isu berkenaan dengan jemaah haji terkandas, penipuan pakej haji dan kesalahan penggunaan visa boleh melibatkan pelanggaran peruntukan di bawah undang-undang berbeza dan di bawah bidang seliaan pihak berkuasa dan agensi yang berbeza.

"Ini termasuk TH, PDRM, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan juga pihak berkuasa Arab Saudi," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, adalah menjadi matlamat Pasukan Petugas Khas untuk menangani isu ini sebaik mungkin secara bersepadu.

Ujar beliau, ini sekali gus membantu menghentikan kesalahan dan kes penipuan berkaitan urusan haji di negara ini secara tuntas.

"TH akan menyalurkan segala maklumat yang diperlukan untuk proses siasatan yang dijalankan pihak berkuasa mengikut bidang kuasa dan lunas undang-undang yang bersesuaian,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN