TFST berjaya kawal projek perumahan bermasalah

Pemantauan berterusan TFST membantu menangani projek perumahan bermasalah/Foto RTM

PUTRAJAYA, 30 Januari – Pelaksanaan intervensi bersasar menerusi Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) terus membantu mengawal isu projek perumahan bermasalah di seluruh negara walaupun terdapat sedikit peningkatan projek lewat dan sakit.

RINGKASAN BERITA AI
  • TFST melaksanakan intervensi bersasar dan pemantauan berterusan untuk mengawal projek perumahan bermasalah.
  • Jumlah projek terbengkalai menurun daripada 102 kepada 99, menunjukkan keberkesanan kerjasama TFST dan pihak berkepentingan.
  • Sejak Januari 2023, 1,399 projek dipulihkan melibatkan 167,423 unit rumah, memberi manfaat kepada lebih setengah juta penduduk.
  • 1,265 projek memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan, dan 109 projek dipulihkan daripada status sakit kepada lancar.

Menurut Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, keadaan itu masih terkawal hasil pemantauan berterusan serta tindakan susulan yang dilaksanakan melalui TFST.

Setakat 31 Disember 2025, sebanyak 161 projek perumahan swasta dikenal pasti lewat, 349 projek berstatus sakit dan 99 projek direkodkan sebagai terbengkalai di seluruh negara.

Beliau berkata, perkembangan positif turut direkodkan apabila jumlah projek terbengkalai menurun daripada 102 kepada 99 projek, sekali gus mencerminkan keberkesanan kerjasama erat antara TFST dan pihak berkepentingan dalam menangani isu perumahan bermasalah.

“Dia ada sedikit kenaikan pada lewat dan sakit tetapi semua itu masih berada dalam kawalan dan hasil pemantauan berterusan kita setelah pelaksanaan intervensi bersasar melalui platform TFST.

“Dalam perkembangan yang memberansangkan juga saya ingin memaklumkan projek terbengkalai menunjukkan penurunan iaitu daripada 102 ke 99 projek sekali gus mencerminkan kepada kita bahawa berlakunya keberkesanan kerjasama erat antara task force bersama rakan-rakan berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media TFST di Putrajaya, hari ini.

Datuk Aiman berkata, sejak penubuhan TFST pada Januari 2023, sebanyak 1,399 projek perumahan swasta berjaya dipulihkan melibatkan 167,423 unit rumah, sekali gus memberi manfaat kepada lebih setengah juta penduduk.

Daripada jumlah itu, 1,265 projek telah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), manakala 109 projek berjaya dipulihkan daripada status sakit kepada lancar.

Selain itu, sebanyak 34 projek perumahan terbengkalai turut berjaya diselesaikan sepenuhnya.