fb fb fb fb fb

Tertekan pedal minyak, remaja cedera kereta dipandu terjunam dari tingkat satu

Keadaan kereta yang terbalik selepas terjunam dari tingkat satu Pusat Pengangkutan Terminal One

SEREMBAN, 8 September- Seorang remaja lelaki mengalami kecederaan pada bahagian kepala selepas kereta dipandunya terjunam dari tingkat satu Pusat Pengangkutan Terminal One, Seremban hari ini.

Menerusi satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din memaklumkan kejadian kira-kira 11.45 pagi itu turut menjejaskan sebuah kereta yang diparkir di bahagian bawah.

“Kejadian berlaku apabila kereta jenis Honda City dipandu lelaki berusia 19 tahun sedang bergerak dari tempat parkir Terminal One untuk balik ke rumah di Seremban 2.

"Apabila tiba di lokasi kejadian di tingkat satu, pemandu telah tertekan pedal minyak dan hilang kawalan lalu terbabas melanggar pagar besi. Kereta itu seterusnya jatuh dan terkena bahagian hadapan kereta tanpa pemandu yang berada di bahagian bawah," katanya.

Beliau berkata remaja terbabit dibawa ke sebuah hospital swasta untuk rawatan.

Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Mohamad Hatta meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi pegawai penyiasat kes menerusi talian 014-6000 353 atau mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE