fb fb fb fb fb

Terima KASIH Ayah tema sambutan Hari Bapa tahun ini

PUTRAJAYA, 14 Jun –Terima KASIH Ayah diangkat sebagai tema sambutan Hari Bapa yang bakal disambut Ahad ini, 18 Jun 2023.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi kenyataan media memaklumkan, pemilihan tema itu bagi menghargai peranan ayah sebagai ketua keluarga yang menjadi suri teladan kepada anak-anak.

Bersempena sambutan Hari Bapa pada tahun ini, KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) memberi fokus kepada lima nilai pengkayaan keluarga, iaitu K.A.S.I.H yang merangkumi (K)asih sayang, (A)khlak atau pun peribadi mulia, (S)ihat fizikal dan mental, ber(I)lmu dan (H)armoni sebagai teras yang perlu ada dalam keluarga; peranan utamanya didokong oleh seorang ayah.

“KPWKM juga menyeru masyarakat untuk bersama-sama menyemarakkan lagi sambutan Hari Bapa bagi membentuk masyarakat dan komuniti yang lebih penyayang serta mengamalkan sifat Ihsan yang sememangnya menjadi tonggak dalam pembentukan Malaysia Madani,” menurut kenyataan tersebut.

Hari Bapa disambut pada Ahad minggu ketiga bulan Jun setiap tahun bagi menghargai peranan, jasa dan pengorbanan seorang ayah yang menjadi pelindung keluarga.


(Bapa Zakwan Moois, 37, membelikan topi untuk dua anaknya semasa

keluar bersiar-siar di bandar Kuantan/Foto hiasan Bernama)

Media Baharu