KUALA TERENGGANU, 19 Januari - Lebih 20 lokasi stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) akan dibangunkan di kawasan tumpuan pelancong di Terengganu dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada persediaan negeri menyokong program Tahun Melawat Malaysia 2026.
Katanya, pihaknya kini memberi tumpuan kepada teknologi pengecasan EV untuk memacu sektor pelancongan, dengan lapan lokasi stesen pengecasan sudah beroperasi sepenuhnya di bandar raya Kuala Terengganu.
“Kami tidak menetapkan sasaran yang terlalu besar kerana jumlah stesen pengecasan EV di Terengganu masih rendah. Namun, jika dapat melihat peningkatan sebanyak 50 peratus, itu sudah satu pencapaian yang baik,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.
Tun Ahmad Faisal turut menggalakkan lebih ramai pelabur dan pemain industri menyertai usaha memajukan sektor EV di negeri itu yang bukan sahaja dapat menyokong agenda Pelan Automotif Negara tetapi juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.