JOHOR BAHRU, 8 Julai- Peniaga haiwan korban di sini menarik nafas lega kerana masih menerima tempahan memberangsangkan meskipun terpaksa menaikkan sedikit harga seekor kambing.
Pengurus Ladang Kambing, Osman Cheya Kutty berkata harga seekor kambing dinaikkan antara RM60 hingga RM100 bergantung kepada saiz.
Kebanyakan kambing di ladangnya diimport dari Thailand, Australia dan Myanmar.
"Pembeli agak terasa sebab biasanya pelanggan kita beli lima ekor, ada yang beli dua ekor saja. Ada juga yang tidak buat korban tahun ini sebab ekonomi sekarang kurang baik sikit.
"Tapi yang kita nampak jelas, harga kambing dan lembu ini akan terus meningkat," katanya kepada RTM.
Bersempena Hari Raya Aidiladha Ahad ini, lebih 400 ekor kambing akan dikorbankan dan beliau menjangkakan akan menerima tempahan hingga 1,800 ekor.