fb fb fb fb fb

Teknologi AI rangsang kreativiti murid sekolah hasilkan buku cerita

Teknologi AI boleh memberi manfaat baik untuk perkembangan kreativiti kanak-kanak seperti menghasilkan buku dan bahan kreatif lain/ Foto kredit Dr. Nusrah Ahmad

ALOR SETAR, 14 Oktober – Penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) dapat membantu proses pembelajaran dan peningkatan kreativiti kanak-kanak apabila seorang murid Tahun 4 di sini, berjaya menerbitkan buku cerita bertajuk “Qaira Storytime: A Collection of Short Stories”.

Koleksi 10 cerita pendek itu diilhamkan daripada pengalaman dan memori penulis, Qaira Ruqayya sejak memasuki alam persekolahan sehinggalah berusia 10 tahun.

Minatnya untuk menulis cerita pendek timbul apabila dia terpilih untuk menyertai pertandingan bercerita di sekolah awal tahun ini.

Selepas menang pingat gangsa dalam pertandingan itu, Qaira mula menulis cerita-cerita pendek di dalam buku catatannya.

Menyedari minat beliau di dalam bidang penulisan, ibunya, Dr. Nusrah Ahmad Mukhtar mula membimbing Qaira menggunakan AI untuk mengembangkan lagi bakat dan kreativiti.

“Sebelum ini, Qaira sudah terdedah kepada penggunaan perisian Power Point. Dia selalu menggunakan komputer riba saya untuk menghasilkan reka bentuk menggunakan Power Point bagi mengisi masa lapang. Memandangkan dia sudah biasa menggunakan komputer riba, Qaira mudah mengikuti bimbingan untuk menggunakan AI seperti menyemak tatabahasa atau ejaan dalam bahasa Inggeris. Selepas semua cerita siap ditulis, saya mengajar beliau untuk menjana imej yang sesuai menggunakan AI. Qaira memilih sendiri imej-imej yang difikirkan sesuai untuk dimuatkan dalam cerita pendek yang ditulisnya.

“Sebelum buku cerita itu dicetak, saya perlu mendaftar sebagai Penerbit Baharu di laman web Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bagi proses mendapatkan nombor pendaftaran penerbitan. Apabila contoh buku telah siap untuk dicetak, barulah saya membuat permohonan bagi mendapatkan nombor pendaftaran terbitan iaitu International Standard Book Number (ISBN). Kurang dua minggu, saya diberikan nombor ISBN dan membolehkan saya menghantar manuskrip buku cerita untuk dicetak. Buku yang diterbitkan ini bukanlah bertujuan komersil tetapi lebih kepada membimbing Qaira memanfaatkan penggunaan teknologi digital khususnya AI.

“Sebagai penjawat awam, saya telah mengikuti pembelajaran kendiri secara dalam talian menerusi inisiatif kerajaan iaitu program “AI untuk Rakyat” yang bermatlamat menambah baik kesedaran orang ramai mengenai AI. Jadi saya berpendapat, sangat penting anak-anak diberi pendedahan awal mengenai teknologi ini bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran digital memandangkan hampir semua industri pada hari ini beralih kepada AI dan pelbagai teknologi digital lain. AI boleh memberi manfaat jika digunakan dengan betul terutama bagi pendidikan kanak-kanak,” katanya lagi.

Menurut beliau, perkembangan teknologi digital pada hari ini sangat pesat sehingga kanak-kanak juga boleh mendapat manfaat daripada teknologi terutama berkaitan dengan pembelajaran.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD