fb fb fb fb fb

Tekanan air rendah, bomba sukar padam api kilang kitar semula

Setakat pukul 9.30 malam tadi api masih marak/Foto Bomba

KOTA BHARU, 27 Oktober - Tekanan air rendah menyukarkan tugas anggota bomba memadam kebakaran di pusat pengumpulan bahan kitar semula di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini, petang tadi.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Khairul Ariffin Che Ramli berkata, pihaknya menjangkakan kebakaran dapat dipadam sepenuhnya pagi esok selain mengawal api agar tidak merebak ke kawasan sekitar.

Bagaimanapun, pihaknya sudah memaklumkan kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) untuk meningkatkan lagi tekanan air di kawasan terbabit.

"Setakat pukul 9.30 malam tadi, api masih marak dan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa mengawal lalu lintas berikutan orang ramai memenuhi kawasan sekitar

"Kami juga menggunakan air dari tiga lori tangki selain turut menerima bantuan bekalan air dari AKSB," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian malam ini.

Katanya, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya dan hanya melibatkan bahan mudah terbakar seperti getah, Polyvinyl Chloride (PVC) dan banyak lagi serta tidak membabitkan struktur bangunan.

Katanya, kejadian yang berlaku kira-kira 5.30 petang itu masih dalam operasi pemadaman dan melibatkan 40 pegawai anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa dan Pasir Tumboh.

"Setakat ini pemilik pusat pengumpulan bahan kitar semula masih belum tampil dan maklumat lanjut yang berkaitan masih dalam siasatan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan sebuah kilang kitar semula terbakar 80 peratus serta tidak melibatkan mangsa.

GRACE AISYAH KEDAYAN