fb fb fb fb fb

TDM mohon henti sebar gambar kemalangan tiga tentera

FOTO TDM

KUALA LUMPUR, 2 Februari- Tentera Darat Malaysia (TDM) meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kemalangan maut membabitkan tiga anggotanya di Lebuh Raya Utara Selatan di Gurun, Kedah, pagi tadi.

Selain itu, orang ramai digesa agar tidak menyebarkan gambar-gambar mangsa bagi menghormati mangsa dan pihak keluarga.

"Pihak TDM juga akan menubuhkan Lembaga Siasatan Dalaman bagi menyiasat kes kemalangan ini.

"Mereka yang terlibat dalam kemalangan dan disahkan meninggal dunia adalah Sarjan Rozali Abdul Rani, Koperal Mohd Asri Idris dan Lans Koperal Mohd Hafiz Haris," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian itu, ketiga-tiga anggota dari Pasukan 3 Rejimen Sempadan (RS) yang berpangkalan di Kem Pengkalan Hulu, Perak sedang dalam konvoi membabitkan tiga kenderaan tiga tan menuju ke Markas 30 Briged, Kem Bukit Cowder, Kangar, Perlis untuk mengambil anggota yang menjalani Eksesais Satria Gagah.

Sebuah kenderaan dalam konvoi berkenaan kemudian mengalami kerosakan dan menyebabkan mereka terpaksa berhenti di sebelah laluan kiri lebuh raya, sebelum dirempuh sebuah treler kurier di lokasi kejadian.

Setakat malam tadi, mayat ketiga anggota itu kini di Jabatan Forensik untuk bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan akan dikebumikan di kampung halaman masing-masing di Besut ,Terengganu; Jeli, Kelantan dan Bukit Selambau, Kedah selepas proses itu selesai.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan seluruh warga TDM menzahirkan rasa duka cita serta mengucapkan takziah kepada waris dan keluarga anggota atas kehilangan mengejut itu.

"Sesungguhnya ini adalah satu kehilangan yang besar buat TDM serta berdoa agar waris dan keluarga anggota dikurniakan kesabaran dan ketabahan untuk menerima ketentuan Allah SWT," ujar kenyataan itu lagi.

ARTIKEL BERKAITAN
Tiga pemandu trak ATM maut dirempuh lori
Khaled ucap takziah kepada keluarga ATM terkorban kemalangan

SITI AISHAH BINTI MD ISA