TEBEDU, 14 Mei- Sebanyak 1,500 karton rokok pelbagai jenama yang cuba diseludup keluar menggunakan laluan haram berdekatan sempadan negara dirampas sepasukan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM)malam tadi.
Markas 1 Divisyen dalam kenyataan medianya berkata, anggota Sub Unit Formasi Divisyen Pertama Infantri yang melaksanakan rondaan di Pos GABMA Tebedu mengesan sebuah van bernombor pendaftaran tempatan sedang membawa muatan yang mencurigakan menggunakan plastik hitam di tapak gudang lama iaitu kira-kira 900 meter dari sempadan negara pukul 10.30 malam.
Pasukan keselamatan kemudiannya bertindak menahan van tersebut bagi pemeriksaan dokumen dan barangan yang dibawa.
Hasil pemeriksaan mendapati, van yang dipandu oleh lelaki tempatan itu membawa bungkusan 30 kotak besar berisi rokok untuk diseludup ke Indonesia.
Nilai keseluruhan rampasan adalah RM95,000.00.
Laporan polis dibuat di Balai Polis Tebedu tengah malam tadi dan kesemua barangan yang dirampas diserahkan kepada pihak polis.