TDM bakal terima lapan helikopter baharu, meriam SPH tahun depan

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman, memeriksa pasukan perbarisan Rejimen Tentera Darat sempena Majlis Sambutan Tentera Darat ke-93 di Kem Perdana Sungai Besi hari ini./BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 April – Pasukan Udara Tentera Darat bakal diperkukuh dengan perolehan lapan helikopter baharu yang dijadual mula beroperasi secara berperingkat bermula Ogos 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perolehan empat helikopter model AW149 secara sewaan pajakan kerajaan selama 15 tahun disahkan.
  • Rancangan perolehan empat helikopter tambahan melalui sewaan lima tahun, aset dijangka memasuki perkhidmatan pada tahun depan.
  • Proses perolehan Sistem Meriam Mudah Gerak berjalan lancar dan dijangka memperkasakan unit artileri TDM paling lewat tahun hadapan.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman memaklumkan, perolehan tersebut merangkumi empat buah helikopter model AW149 yang diperoleh secara sewaan pajakan kerajaan bagi tempoh 15 tahun.

“Selain itu, kita juga sedang merancang satu lagi perolehan melibatkan empat buah helikopter tambahan melalui kaedah sewaan selama lima tahun.

“Aset ini dijangka mula memasuki perkhidmatan pada tahun depan, berkemungkinan bermula Ogos sehingga penghujung tahun,” katanya.

Mengulas mengenai aset artileri, beliau menjelaskan bahawa proses perolehan sistem Meriam Mudah Gerak (SPH) kini sedang berjalan lancar mengikut jadual.

Sistem persenjataan berteknologi tinggi itu dijangka mula memperkasakan unit artileri Tentera Darat Malaysia (TDM) selewat-lewatnya pada tahun hadapan.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Perbarisan Hari Tentera Darat Ke-93 bertemakan ‘Kemahuan untuk Menang: Pemangkin Keperkasaan Tentera Darat’ di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.